JOHANNESBURG: Seramai enam kanak-kanak yang meninggal dunia di sebuah kawasan perumahan di Afrika Selatan awal bulan ini, disahkan menelan sebatian kimia yang digunakan dalam pestisid iaitu racun binatang perosak.
Menteri Kesihatan negara itu berkata, kes itu mencetuskan desakan untuk penguatkuasaan kawalan keselamatan makanan yang lebih ketat.
Media tempatan melaporkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia setelah menikmati snek yang dibeli dari sudut tidak formal di sebuah kedai di kawasan Soweto, berhampiran Johannesburg.
“Punca kematian adalah dengan jelas disebabkan organofosfat iaitu satu kumpulan bahan yang biasanya digunakan dalam pertanian atau sebagai pestisid,” kata Menteri Kesihatan, Aaron Motsoaledi kepada wartawan ketika mengumumkan penemuan analisis toksikologi.
Pegawai kesihatan masih menunggu keputusan ujian swab yang diambil dari kedai-kedai sudut tidak formal atau dikenali sebagai kedai spaza di Afrika Selatan bagi mengesan punca asal organofosfat tersebut.
“Teori kami, sehingga terbukti sebaliknya, adalah kedai-kedai ini menggunakannya sebagai pestisid untuk membunuh tikus dan ia juga dijual kepada komuniti untuk membunuh tikus.
“Mana-mana racun yang digunakan untuk membunuh makhluk perosak atau benda lain di rumah tidak seharusnya membunuh manusia,” jelas Motsoaledi, sambil menambah produk pestisid yang mengandungi organofosfat tidak seharusnya digunakan secara rutin di dalam rumah. – AGENSI