BEIRUT: Tentera Lubnan memberkas dua rakyat Syria kerana disyaki telah direkrut untuk bekerja dengan Israel.
Perisikan tentera Lubnan menangkap dua warga Syria kerana mengambil gambar tempat berbeza dan mendokumentasikan hasil serangan udara musuh, berdasarkan kenyataan tentera dalam platform media sosial X.
Penangkapan itu adalah ‘hasil daripada pengawasan dan susulan rangkaian pengintip Israel dan ejen musuh’.
Pasangan itu juga telah mendokumentasikan ‘operasi mencari dan menyelamat mayat mangsa’ di tapak serangan Israel dan ‘direkrut melalui media sosial,’ kata kenyataan itu, sambal memamklumkan pihak berkuasa kehakiman sedang menyiasat perkara itu.
Israel menggempur Lubnan selama lebih dua minggu, yang menyebabkan lebih 1,200 orang terkorban sejak 23 September lalu, menurut pengiraan angka rasmi AFP.
Lubnan secara teknikalnya kekal berperang dengan Israel dan melarang rakyat daripada mempunyai sebarang hubungan dengan Israel atau melancong ke negara itu.
Keraguan semakin memuncak selepas Israel membunuh Komander Kanan Hizbullah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk Ketua Kumpulan itu, Hassan Nasrallah.
Perkhidmatan Keselamatan Lubnan telah menangkap berpuluh-puluh individu sejak bertahun-tahun lalu, kerana disyaki bekerjasama dengan Israel, dengan beberapa daripadanya menerima hukuman penjara sehingga 25 tahun.-AFP