Dua mangsa hilang ditemukan maut Taufan Krathon di Taiwan

Dua mangsa hilang ditemukan maut akibat Taufan Krathon di Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Dua individu yang dilaporkan hilang akibat angin kencang dan hujan lebat dibawa oleh Taufan Krathon ditemukan maut hari ini, menjadikan jumlah korban akibat ribut meningkat kepada empat orang.

Di seluruh pulau itu, kira-kira 20,000 kediaman masih terputus bekalan elektrik hari ini, terutamanya di bandar pelabuhan selatan Kaohsiung, yang paling teruk terjejas setelah taufan itu melanda daratan.

Krathon mula melemah menjadi tekanan tropika pada Jumaat selepas membadai pulau tersebut sehari sebelumnya, menyebabkan tanah runtuh, banjir, serta angin kencang yang mencatatkan rekod.

Lebih 700 orang dilaporkan cedera akibat bencana itu.

Pada Sabtu, dua individu yang hilang ditemukan maut di Bandar New Taipei, menjadikan jumlah kematian akibat taufan itu kepada empat orang, menurut Agensi Bomba Kebangsaan tanpa memberikan butiran lanjut.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di beberapa daerah di New Taipei dan membanjiri jalan raya, menyebabkan puluhan pelajar terkandas di sekolah-sekolah mereka buat sementara waktu, menurut pegawai.

Kementerian Pertahanan berkata, kira-kira 250 anggota tentera telah dihantar ke bandar tersebut serta Keelung yang turut dilanda tanah runtuh, untuk membantu membersihkan jalan raya dan mengalirkan air banjir.

Di Kaohsiung dan daerah jiran Pingtung, sekitar 1,500 anggota tentera dikerahkan untuk hari kedua bagi membantu dalam kerja-kerja bantuan bencana, menurut kementerian tersebut.

Taiwan sering dilanda ribut tropika dari Julai hingga Oktober lalu, namun saintis memberi amaran perubahan iklim telah meningkatkan intensiti ribut, menyebabkan hujan lebat, banjir kilat, dan angin kencang.

Pada Julai lalu, Taufan Gaemi menjadi taufan terkuat yang melanda Taiwan dalam tempoh lapan tahun, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, mencederakan ratusan yang lain, dan mencetuskan banjir besar di Kaohsiung. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya