GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan operasi bersama WHO dan Bulan Sabit Merah Palestin berjaya menghantar semula bekalan bantuan ke dua hospital di utara Gaza.
Jelasnya, bantuan berjaya disalurkan ke Hospital Kamal Adwan dan Al-Sahaba selepas sembilan percubaan sepanjang minggu lalu.
WHO kerap mengkritik halangan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap misi penghantaran bekalan dan pemindahan pesakit.
Jumaat lalu, WHO sekali lagi menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini dalam satu taklimat di Geneva.
“Misi penghantaran satu kali tidak mencukupi. Terdapat keperluan yang berterusan untuk membekalkan semula hospital-hospital agar ia dapat terus beroperasi,” kata Dr. Tedros, yang sekali lagi menggesa agar misi kemanusiaan diberi kemudahan berterusan dan keselamatan untuk kakitangan serta gencatan senjata.
Menurut WHO, seramai 13 pesakit dalam keadaan kritikal telah dipindahkan dari hospital Kamal Adwan ke hospital Al-Shifa di Bandar Gaza.
“Hospital tersebut sesak dan masih merawat kira-kira 60 pesakit dalam wad, selain menerima sekurang-kurangnya 50 hingga 70 orang yang cedera setiap hari,” katanya.
Misi penghantaran bekalan itu juga menyampaikan 20,000 liter bahan api untuk memastikan hospital Kamal Adwan dan Al-Awda terus beroperasi, manakala 23,000 liter bahan api dihantar ke hospital Al-Sahaba bersama 800 unit darah serta bekalan perubatan penting.
Bahan api tersebut digunakan untuk menggerakkan penjana elektrik hospital bagi memastikan bekalan kuasa berterusan.
Infrastruktur hospital di seluruh Gaza sangat meruncing selepas setahun peperangan antara Israel dan Hamas, dengan banyak fasiliti terjejas akibat bedilan atau pertempuran. -AGENSI