TEL AVIV: Hezbollah menggunakan dron untuk melemahkan keupayaan pertahanan udara Israel dengan melanggar bateri dan infrastruktur yang sepatutnya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu itu.
Pengarah Penyelidikan di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alma, Tal Beeri berkata, dron menjadi sistem strategik yang diilhamkan oleh Iran untuk Hezbollah.
Hezbollah mula menggunakan dron buatan Iran selepas Israel berundur dari selatan Lubnan pada tahun 2000 dan menghantar dron pengintip Mirsad pertama ke ruang udara rejim pada 2004.
Program dron Hezbollah terus menerima bantuan besar daripada Iran dan UAV dipercayai dipasang oleh pakar kumpulan itu di Lubnan.
Sejak mula menyerang Israel pada Oktober 2023, Hezbollah melancarkan kira-kira 1,500 dron pengintip dan serangan, menurut Beeri.
Beliau berkata, dron serangan yang sering mengenai sasaran awam, membawa muatan 10 kilogram bahan letupan dan boleh terbang sejauh ratusan kilometer.
“Pada Mei lalu, Hezbollah buat pertama kalinya menggunakan dron yang mampu menembak peluru berpandu anti kereta kebal, dan kumpulan itu mungkin memiliki lebih banyak dron yang sama,” katanya.
Awal tahun ini, Hezbollah mendakwa menggunakan dron bahan letupan Ababil untuk menjatuhkan belon pemerhatian Sky Dew milik Israel, sebahagian komponen pertahanan udaranya.
Israel mengakui serangan dron kini menjadi ancaman buat rejim kerana keupayaannya yang lebih sukar dikesan berbanding roket atau peluru berpandu.
Bekas Ketua Komando Pertahanan Udara tentera Israel, Ran Kochav berkata, dron kini ancaman sebenar buat Israel selepas ia merekodkan banyak kematian dalam tempoh 10 hari terakhir akibat serangan pesawat itu.
Ini terbukti selepas serangan sebuah dron baru-baru ini menjadi insiden paling buruk terhadap Israel dalam tempoh setahun peperangan, selepas pesawat tanpa pemandu itu membedil dewan makan di kem latihan tentera.
Ahad lalu, sebuah dron menghentam dewan makan yang dipenuhi askar Israel, mengakibatkan empat daripadanya terbunuh dan 67 lagi cedera.
Hezbollah yang menegaskan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan berkata, dron tersebut berjaya menembusi radar pertahanan udara Israel tanpa dikesan dan mencapai sasaran.- AP