PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan beregu No. 1 dunia pada aksi separuh akhir Terbuka Arctic 2024, sebentar tadi.
Pasangan No. 8 dunia itu mempamerkan aksi menarik menewaskan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang menerusi permainan tiga set, 19-21, 21-17, 21-18 di Vantaan Energia Areena.
Pada aksi akhir esok, Sze Fei-Nur Izzuddin dijadualkan akan bertemu gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh ataupun pilihan kedua kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Untuk rekod, pasangan profesional berkenaan sudah meraih dua gelaran pada musim ini iaitu Terbuka China dan Jepun.
Sementara itu, pasangan suami isteri negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal meluaskan kemaraannya apabila tunduk kepada gandingan China, sebentar tadi.
Pasangan No. 10 dunia itu terpaksa akur dengan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menerusi permainan straight set 14-21, 8-21 dalam tempoh 30 minit. – UTUSAN