PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, sebentar tadi.
Bagaimanapun, beregu negara terpaksa bermandi peluh untuk mengatasi gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto menerusi permainan tiga set, 23-21, 19-21, 22-20 dalam tempoh 73 minit.
Pasangan profesional berkenaan akan berdepan antara rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau pilihan pertama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang bagi merebut tempat ke pentas final, esok.
Sementara itu, pasangan suami isteri negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mudah membenam rakan senegaranya,
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Beregu campuran profesional itu hanya memerlukan 40 minit sahaja untuk menewaskan Pang Ron-Su Yin dalam permainan straight set, 21-19, 21-15.
Soon Huat-Shevon, seterusnya akan menentang gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari atau Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China untuk aksi separuh akhir, esok. – UTUSAN