PARIS: Delegasi Israel yang mengambil bahagian dalam pertunjukan pertahanan Euronaval di Perancis pada bulan depan tidak akan dibenarkan mendirikan sebarang reruai atau mempamerkan peralatan susulan keputusan kerajaan Perancis, menurut pihak penganjur.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan semakin memuncak antara Israel dan Perancis berikutan kenyataan Presiden, Emmanuel Macron yang mengkritik kematian orang awam dalam kempen Israel menentang Hezbollah di Lubnan dan Hamas di Semenanjung Gaza.
Minggu lalu, Macron menegaskan akan menghentikan eksport senjata yang digunakan oleh Israel dalam kedua-dua operasi tersebut sebagai satu-satunya cara untuk menghentikan konflik berkenaan.
“Kerajaan Perancis memaklumkan kepada Euronaval tentang keputusannya untuk meluluskan penyertaan delegasi Israel di Euronaval 2024, tanpa sebarang gerai atau pameran peralatan,” kata penganjur pertunjukan itu yang dijadualkan bermula pada 4 November depan, di Paris.
Euronaval, acara dwitahunan yang menarik penyertaan pameran pertahanan tentera laut dari seluruh dunia, memaklumkan tujuh syarikat Israel terkesan dengan keputusan tersebut.
“Selaras dengan keputusan kerajaan Perancis, syarikat dan warganegara Israel yang ingin menghadiri pertunjukan itu akan diterima, mengikut syarat yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu.
Mei lalu, kehadiran pengeluar pertahanan Israel di pameran Eurosatory, iaitu pameran pertahanan darat dan keselamatan, turut diharamkan oleh kerajaan sebelum akhirnya dibenarkan oleh Mahkamah Perancis. -AGENSI