Culik: 13 individu termasuk seorang ahli keluarga mangsa ditahan

Culik: 13 individu termasuk seorang ahli keluarga mangsa ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, seorang daripada suspek berusia antara 23 hingga 58 tahun yang ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula pukul 9 malam tadi adalah ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan sejurus menerima laporan dibuat mangsa pada hari kejadian.

“Daripada 10 lelaki itu, lapan merupakan warga tempatan dan dua lelaki warga asing, manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan  Program ‘Community Policing’ Kontinjen Johor sempena Sambutan Hari Deepavali 2024 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dibebaskan selepas wang tebusan dibayar, dipercayai sebanyak RM20 juta.

Mangsa berusia 59 tahun dijadualkan untuk ke luar negara bagi urusan perniagaan sebelum dilarikan pada pukul 5 pagi, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Kumar berkata, seramai 10 suspek direman selama tujuh hari hingga 29 Oktober ini, manakala tiga lagi suspek akan dimohon reman esok. Kes disiasat di bawah Akta Penculikan 1962. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya