California lulus undang-undang lindungi data gelombang otak

California lulus undang-undang baharu lindungi data ‘neural’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Satu undang-undang baharu di California telah memperluaskan perlindungan privasi pengguna terhadap data gelombang otak yang dikumpul melalui implan atau peranti boleh pakai.

Gabenor California, Gavin Newsom pada hujung minggu lalu menandatangani rang undang-undang meminda Akta Privasi Pengguna California (CCPA), versi negeri tersebut terhadap Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) di Eropah, untuk mengklasifikasikan ‘data neural’ sebagai maklumat peribadi yang dilindungi seperti data geolokasi tepat, genetik, dan biometrik.

Pengarah Perubatan Yayasan NeuroRights, Sean Pauzauskie menyifatkan undang-undang California itu sebagai ‘kemenangan besar’ bagi pesakit yang menderita gangguan kesihatan mental serta pengguna yang ingin meningkatkan kualiti hidup mereka dengan teknologi baharu.

“Garisan panduan privasi yang penting ini akan meningkatkan keyakinan terhadap semua jenis teknologi neuro revolusioner, yang kebanyakannya berpusat di California,” kata Pauzauskie dalam kenyataan.

California menjadi negeri kedua memperluaskan perlindungan data kepada gelombang otak, selepas Colorado melaksanakan undang-undang yang memerlukan langkah perlindungan privasi seumpamanya dilakukan terhadap cap jari.

“Undang-undang California itu menghantar isyarat jelas kepada industri teknologi neuro yang sedang berkembang pesat agar melindungi privasi mental orang ramai,” kata Penasihat Umum Yayasan NeuroRights, Jared Genser.

Genser turut menyarankan agar undang-undang perlindungan data gelombang otak diwujudkan di peringkat kebangsaan.

Perlindungan di bawah undang-undang California termasuk hak untuk mengetahui data otak yang dikumpul, had pendedahannya, serta pilihan untuk menarik diri atau memadamkan data tersebut.

Undang-undang ini terpakai kepada peranti yang mampu merekod atau mengubah aktiviti sistem saraf, sama ada yang diimplan atau dipakai, menurut NGO tersebut.

Potensi peranti ini untuk mengakses perasaan atau pemikiran seseorang telah menimbulkan kebimbangan ia boleh digunakan untuk memanipulasi emosi atau fikiran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya