Bukan pelaris, tetapi satu bukti perjuangan muzik

Bukan pelaris, tetapi satu bukti perjuangan muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak sekadar menghimpunkan pemuzik legenda untuk beraksi, tetapi Rock Warrior Music Festival bakal menampilkan fenomena luar biasa lebih gah berbanding sedia ada.

Meletakkan nama besar dalam industri, percaturan yang dibuat oleh Rumah Produksi Merah (RPM) milik Datuk Awie dilihat mencipta revolusi tersendiri dalam penganjuran festival muzik yang bakal berlangsung selama dua hari di KL Base Sungai Besi pada 23 dan 24 November ini.

Ikon rock tanah air seperti Wings, XPDC (Milita), Search (KidDin), MAY dan ratu rock, Ella pastinya menjanjikan kelainan, apabila ‘perang rock’ direalisasikan atas satu pentas untuk tatapan peminat.

Selain itu, kumpulan Spider, ACAB dan Pop Shuvit yang turut beraksi dalam festival ini juga dijangka mampu memberi impak tersendiri di samping menarik peminat mereka untuk hadir menikmati momen bersejarah ini.

Walaupun terdapat beberapa kumpulan yang kerap mengadakan persembahan berskala besar sebelum ini, namun pentas ini bukanlah ‘siri ulangan’ mahupun ‘kitar semula’ apabila masing-masing berusaha untuk memberi kelainan serta pendekatan berbeza pada festival ini
nanti.

Menurut Datuk Awie, fokus utama penganjuran ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada penggiat seni terutamanya pemuzik rock untuk terus berkarya dan menghidupkan semula zaman kegemilangan yang pernah mereka lalui satu ketika dahulu.

Meletakkan jenama sebagai kekuatan dan daya tarikan, kemunculan mereka diharap mampu mencipta fenomena tersendiri khususnya buat peminat lama dan baharu bagi memastikan perjuangan mereka kekal relevan.

“Mereka yang dipilih adalah antara kumpulan yang tidak pernah jemu dan putus asa dalam memperjuangkan semangat dan aliran muzik yang dibawa. Masing-masing punya kekuatan serta peminat tersendiri, itu antara salah satu faktor mereka disenaraikan dalam festival ini.

“Pentas ini adalah simbol penghargaan buat mereka. Saya percaya persembahan malam itu pastinya akan menghidupkan semula suasana sewaktu era kegemilangan mereka satu ketika dahulu.

“Malah generasi baharu juga pasti teruja kerana mungkin sebelum ini mereka hanya mendengar di corong radio atau media sosial sahaja,” ujarnya.

Tidak sekadar meletakkan artis lama sebagai ‘pelaris’ tetapi festival kali ini lebih bertujuan membuka ruang dan peluang buat mereka kembali aktif, malah ruang yang sama juga diberikan kepada artis-artis baharu untuk mempromosi serta menonjolkan bakat masing-masing.

Menurut Awie lagi, penganjuran ini adalah pemangkin untuknya bergiat serius pada siri akan datang, malah beliau menegaskan akan membuat pelbagai kelainan termasuk mengundang artis dari luar negara jika mendapat sambutan menggalakkan.

“Kelangsungan industri muzik perlu diteruskan dan apa yang kami usahakan (Rumah Produksi Merah) adalah untuk menghidupkan kembali suasana dan kegemilangan muzik rock serta penyatuan artis lama dan baharu berkongsi pentas.

“Selain itu matlamat kami juga adalah untuk mencari serta memberi peluang pelapis baharu yang berkebolehan dalam industri agar satu hari nanti mereka bersedia menggantikan kami yang akan pergi,” ujarnya.

Festival yang berlangsung selama dua hari, bermula dari jam 12 tengahari hingga 7 malam ini bukan sahaja menyajikan persembahan daripada artis legenda ternama, malah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan vendor yang mengambil bahagian antaranya, gerai makanan dan minuman, produk lifestyle rock seperti aksesori, barangan eksklusif dan sebagainya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan ini sudah mula dijual pada 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya