PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025 bagi terus memperhebatkan pembangunan sukan di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan di Dewan Rakyat hari ini berkata, beberapa langkah penting yang perlu dilaksanakan dalam usaha memastikan pencapaian atlet negara sentiasa berdaya saing dan pembangunan sukan negara berjalan dengan lancar dan tidak terjejas.
“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul pingat emas.
“Selain itu peruntukan itu juga melibatkan program podium, latihan atlet dan Road to Gold (RTG), Persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025,” kata Anwar.
Jumlah peruntukan itu juga adalah termasuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO.
Sementara itu, Anwar turut memberi sokongan padu kepada pembangunan sukan bola sepak negara dengan menyediakan sebanyak RM15 juta kepada pasukan Harimau Malaya, Bawah 18 (B-18) dan Bawah 13 (B-13).
“Dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) peruntukan itu berfungsi bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain,” kata Anwar.
Dalam pada itu, kerajaan juga turut memperkasakan industri sukan yang sedang meningkat naik berikutan pencapaian semasa yang sangat memberangsangkan perlu diketengahkan.
“Berikutan sambutan hangat saat berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket.
“Baru-baru ini juga, Selangor Red Giants telah bergelar juara dunia bagi e-Sports World Cup. Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan,” tambahnya.
Kerajaan juga turut mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diberikan oleh kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
Tambahan pula, kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu berkaitan aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan disemak semula bagi memelihara kebajikan dan menjamin penjagaan warga emas.
“Pelepasan cukai perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa,” kata Anwar.
Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara. – UTUSAN