Bekas Presiden Peru dihukum penjara 20 tahun terima rasuah

Bekas Presiden Peru dihukum penjara 20 tahun terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Bekas Presiden Peru, Alejandro Toledo, dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah daripada syarikat gergasi pembinaan Brazil, Odebrecht.

Keputusan yang dijatuhkan pada Isnin itu menandakan sabitan berprofil tinggi pertama di Peru berkaitan dengan skandal rasuah Lava Jato yang melanda seluruh benua Amerika Latin.

Toledo, seorang ahli ekonomi berusia 78 tahun yang mempunyai ijazah kedoktoran dari Universiti Stanford, memimpin negara Andes dari tahun 2001 hingga 2006.

Menurut pihak pendakwa, Toledo didapati menerima rasuah sebanyak AS$35 juta daripada syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Odebrecht, sebagai pertukaran untuk membenarkan syarikat itu memenangi kontrak pembinaan jalan yang kini menghubungkan pantai selatan Peru dengan kawasan Amazon di barat Brazil.

Semasa perbicaraan yang berlangsung selama setahun, Toledo menafikan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.

Odebrecht, yang kini dikenali sebagai Novonor, merupakan pusat kepada skandal rasuah terbesar di Amerika Latin.

Pada 2016, syarikat tersebut mengaku pihaknya telah menyogok pegawai di beberapa negara untuk mendapatkan kontrak kerja awam.

Sebelum ini, bekas Presiden, Pedro Castillo juga ditahan sementara menghadapi tuduhan pemberontakan selepas cuba membubarkan Kongres pada 2022.

Dua lagi bekas presiden, Pedro Pablo Kuczynski dan Ollanta Humala, turut disiasat dalam kes Odebrecht.

Toledo, yang pernah bekerja sebagai pengilat kasut ketika zaman kanak-kanaknya, ditangkap di Amerika Syarikat pada 2019 selepas pegawai di Peru meminta ekstradisinya.

Bekas presiden itu menandatangani kontrak dengan Odebrecht untuk pembinaan jalan tersebut, meskipun projek pembinaannya berlangsung dalam dua pentadbiran berikutnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya