BURIRAM: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli MotoGP Thailand dalam keadaan litar yang basah, di Litar Antarabangsa Buriram, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Bagnaia merapatkan jurang kepada 17 mata dengan Jorge Martin yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua menjelang perebutan seterusnya kejuaraan mereka di Sepang, Malaysia, minggu depan.
Pelumba KTM, Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di Buriram di tempat ketiga, namun tumpuan terarah kepada Martin dan Bagnaia dengan kejuaraan kini menjadi perseteruan dua pelumba terbabit dijangka terus sengit hingga perlumbaan terakhir musim di Valencia pada 15 hingga 17 November.
Bagnaia mengucapkan terima kasih kepada pasukan Ducati kerana mengekalkan harapannya untuk meraih gelaran dunia ketiga berturut-turut.
“Kami melakukan kerja yang luar biasa. Saya sangat gembira,” kata Bagnaia.
Bagnaia juga memulakan perlumbaan pecut hari Sabtu di petak utama tetapi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, tepat di belakang Martin manakala rakan sepasukannya, Enea Bastianini, memenangi perlumbaan pecut itu. – AGENSI