Badrul minta diberi masa buat ‘kerja rumah’

Badrul minta diberi masa buat ‘kerja rumah’

ANTARA aksi Terengganu FC (TFC) menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Darul Aman, semalam. - IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali mengharapkan agar semua pihak terus memberikan masa untuk dia kembali membentuk pasukan, setelah Sang Penyu sekali lagi kempunan mengutip mata penuh apabila tewas 0-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Menurut Badrul, ketika ini banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan sementelah dirinya baru saja mengambil alih tugas untuk mengetuai barisan kejurulatihan dari Tomislav Steinbruckner sejak dua perlawanan terdahulu.

Katanya, masalah terbesar pasukan itu ketika ini adalah kegagalan untuk menterjemahkan jaringan biarpun rentetan peluang berjaya dicipta sepanjang perlawanan.

“Secara keseluruhan pemain telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini tetapi kita masih leka dalam situasi bola mati. Kelekaan itu jugalah yang membawa kepada jaringan kemenangan KDA FC dalam pertembungan ini.

“Kami mengawal permainan sama ada pada separuh masa pertama mahu pun separuh masa kedua tetapi akhirnya tewas. Memang saya kecewa tetapi saya harap dapat terus diberikan sokongan dan peluang untuk kembali membentuk pasukan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, KDA FC mencatat kemenangan di depan 3,200 penyokong mereka menerusi jaringan Cleylton Santos pada masa tambahan, separuh masa pertama.

Badrul Afzan menambah, keupayaan KDA FC mempamerkan permainan terpuji dalam mengekang asakan anak-anak buahnya bukan sesuatu yang di luar jangkaan biarpun Sang Kenari dihimpit isu tunggakan gaji untuk tempoh tujuh bulan.

“Tentangan diberikan KDA FC ini memang sesuatu yang sudah saya jangkakan kerana setiap kali turun ke padang, para pemain biasanya tidak akan lagi memikirkan perkara-perkara lain termasuk gaji.

“Sebab itu saya ingatkan pemain supaya tidak ambil mudah dan sentiasa berwaspada dengan ancaman KDA FC tetapi akhirnya kami tetap tewas walaupun menguasai perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selepas ini tumpuannya akan terarah kepada usaha untuk membentuk gandingan terbaik bagi menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya.

“Ada enam orang pemain kebangsaan TFC dalam pasukan ini dan kami hanya dapat menjalani latihan penuh bersama mereka, sehari sebelum perlawanan berlangsung setelah mereka pulang dari tugasan di peringkat antarabangsa di New Zealand, baru-baru ini.

“Saya memerlukan masa untuk mencari kesesuaian gandingan pemain. Untuk perlawanan seterusnya, kami mahu pastikan lebih banyak peluang diterjemahkan dengan jaringan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya