LONDON: Arsenal akan terus beraksi tanpa kaptennya, Martin Odegaard bagi aksi pusingan keempat Piala Liga di Preston North End awal pagi esok.
Bagaimanapun, pengendali The Gunners Mikel Arteta berharap pemain Norway itu akan kembali cergas sebelum permulaan rehat tugasan antarabangsa.
Arsenal dibelenggu senarai kecederaan yang berpanjangan dengan Odegaard diketepikan sejak September lalu kerana kecederaan buku lali dan pemain pertahanan Riccardo Calafiori mengalami kecederaan lutut ketika menang 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara ke atas Shakhtar Donetsk pada 22 Oktober lalu.
Calafiori terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu ketika mereka seri 2-2 dengan Liverpool di Stadium Emirates, yang mana pemain pertahanan Gabriel Magalhaes dan Jurrien Timber kedua-duanya dikeluarkan pada babak kedua menyebabkan Arsenal terpaksa membuat rombakan besar di benteng pertahanan.
“Odegaard sudah turun ke padang buat beberapa minggu dan harapnya dia akan kembali sebelum rehat tugasan antarabangsa. Calafiori akan berehat selama beberapa minggu,” kata Arteta.
Ketika tempoh tugasan antarabangsa, Odegaard dijangka mewakili Norway berdepan Slovenia di gelanggang lawan pada 14 November sebelum melayan kunjungan Kazakhstan pada 17 November dalam aksi Liga Negara-Negara B Kumpulan 3.
“Kami masih menilai Gabriel. Ia kelihatan tidak terlalu teruk. Dia semakin baik setiap hari berikutnya. Terlalu awal untuk menyatakan bila dia akan diketepikan.
“Jurrien terlalu penat untuk meneruskan perlawanan jadi tiada kecederaan baharu sebenarnya,”jelas Arteta.
Selepas Piala Liga di Preston, Arsenal akan berkunjung ke Newcastle United Sabtu ini bagi aksi EPL. – AGENSI