Air pasang besar: 400 keluarga dijangka terjejas di Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Air pasang besar: 400 keluarga dijangka terjejas di Kuala Perlis

ABU Bakar Hamzah (dua dari kanan) meninjau mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 400 keluarga membabitkan 1,000 orang di Kuala Perlis dijangka terjejas berikutan fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini bermula 16 sehingga 22 Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pada masa ini, sebanyak 41 mangsa membabitkan 14 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Katanya, jumlah mangsa dijangka meningkat dengan dua lagi PPS telah bersedia diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis.

Ujarnya, dianggarkan 10 buah kampung terjejas dengan fenomena itu antaranya Kampung Pengkalan Baru, Kampung Besi, Kampung Pulau Ketam, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alor, Kampung Tandiap dan beberapa lagi.

“Paras air laut akibat air pasang pada malam ini dijangka lebih tinggi berbanding kebiasaan,” katanya di sini hari ini.

Fenomena air pasang besar yang melanda Perlis bermula dari 16 sehingga 22 Oktober ini di mana paras tertinggi air dijangka mencecah sehingga 3.7 meter pada awal pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga berharap agar pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) dapat bekerjasama bagi membantu mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan.

“Keselamatan penduduk yang terjejas ini perlu dijaga bagi menggelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Tambah Abu Bakar, fenomena air pasang kali dilihat lebih buruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Kita sentiasa melakukan tinjauan bagi melihatkan keadaan penduduk khususnya di 10 buah kampung yang dijangka terjejas ini. Saya juga nasihatkan penduduk supaya pindah sekiranya paras air naik di kediaman masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya