MELBOURNE: Seorang ahli farmasi dari Malaysia, Leong ‘KC’ Kum Chuan, 29, maut dibunuh di sebuah blok pangsapuri Bellfield di timur laut Melbourne, 23 Oktober lalu.
Polis menemukan mayat Leong sekitar waktu tengah hari selepas menerima laporan daripada penduduk di kompleks pangsapuri tersebut.
Susulan siasatan, pihak berkuasa meneliti rakaman CCTV dan menemu bual beberapa saksi, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki bernama Simon Hunter, 54, yang kemudiannya didakwa atas kesalahan membunuh.
Menurut laporan ABC News, Hunter, yang dilaporkan menghidap skizofrenia dan tidak mempunyai alamat tetap, hadir di Mahkamah Majistret Melbourne pada 24 Oktober lalu.
Leong, yang berkhidmat dengan Eastern Health Melbourne sejak 2021, digambarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Health, David Plunkett, sebagai seorang pemimpin berbakat dan mentor kepada ahli farmasi muda.
“Leong akan dikenang atas semangat, kebaikan, dan dedikasinya kepada pasukan dan komuniti yang lebih luas,” kata Plunkett, sambil menyifatkan kematian Leong sebagai satu tragedi yang dirasai ramai.
Keluarga Leong tiba dari Malaysia pada pagi Khamis lalu, untuk bertemu dengan pihak polis dan membincangkan perkembangan kes tersebut.
Hunter kini ditahan dalam lokap dan perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 16 Januari tahun depan. -AGENSI