PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memberi peringatan keras kepada individu dan pasukan Liga A1 Semi-Pro supaya menjauhi tindakan menjual perlawanan atau mereka yang terlibat bakal berdepan hukuman berat.
Tegas Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, setakat ini tiada lagi laporan berkenaan perkara ini namun sekiranya timbul masalah ini, pihak AFL tidak teragak-agak mengenakan hukuman berat.
Katanya, AFL, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bekerjasama rapat bagi membanteras masalah berkenaan.
“Kita sendiri tidak berani nak cakap ini ada isu bookie atau pertaruhan. Jika kita rasa mungkin ada unsur-unsur itu, tentu sekali kita akan laporkan tetapi pastikan dengan bukti-bukti yang kukuh.
“Setakat kata keputusan perlawanan seperti kalah 7-0, 10-0, itupun tidak semestinya dikatakan terlibat dengan unsur-unsur itu (jual perlawanan), kadang-kadang memang ada pasukan betul-betul kuat dan buat persiapan rapi daripada awal musim,” katanya.
Mohd Raimi berkata, jika benar ada isu ini terjadi dalam Liga A1 maka pihak berkenaan yang memiliki bukti kukuh boleh membuat laporan terus kepada SPRM.
“Sesiapa sahaja yang ada bukti boleh buat laporan terus kepada SPRM dan sebagainya untuk mereka menjalankan siasatan. Kes seperti ini kita tidak boleh dedahkan atau bercakap secara terbuka kerana ia akan mengganggu siasatan,” jelasnya.-UTUSAN