PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas 3-1 kepada Gwangju FC pada aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) zon Timur,sebentar tadi.
Keputusan itu juga memberi kekalahan pertama buat skuad Harimau Selatan sekali gus memadam rekod tanpa kalah yang dimiliki JDT.
Pada aksi di Stadium Yongin Mireu, Korea Selatan, JDT dikejutkan dengan dua gol pantas diperolehi oleh pasukan tuan rumah dalam tempoh enam minit.
JDT yang masih cuba mencari rentak permainan dihukum oleh tuan rumah menerusi dua jaringan pantas pada minit ketiga dan keenam menerusi pemain sayap dari Albania, Jasir Asani.
Bagaimanapun, JDT berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Feroz Baharudin pada minit ke-28 selepas memanfaatkan sepakan penjuru yang dilakukan Juan Muniz.
Aksi serang menyerang kedua-dua berterusan namun tiada jaringan dihasilkan sekali gus mengekalkan keputusan 2-1 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT melakukan beberapa pertukaran dan meningkatkan intensiti untuk mencari gol penyamaan namun gagal membolosi benteng Gwangju walaupun mengawal hampir keseluruhan permainan.
JDT yang ‘sibuk’ menyerang kubu tuan rumah dikejutkan gol ketiga menerusi tandukan Heo Yool yang menerima hantaran lintang Asani sebelum bola terkena kaki pertahanan pelawat, Park Jun-heong dan menerjah jaring.
Keputusan itu memberi kekalahan pertama kepada Harimau Selatan yang sebelum ini berjaya meraih empat mata pada dua aksi ACLE yang diharungi ketika bertemu dua kelab China, Shanghai Port dan Shanghai Shenhua.
Sementara buat Gwangju, mereka meraih kemenangan ketiga sekali gus mengumpul sembilan mata penuh.-UTUSAN