PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Abdul Khalid Samad, menyatakan sokongan padu kepada Dato Abdullah Sani, sebagai calon yang paling sesuai untuk menerajui persatuan tersebut dalam pemilihan yang akan berlangsung pada Sabtu.
Khalid, yang pernah mengetuai KLFA sejak 2020 dan berjaya melonjakkan prestasi KL City FC, berkata barisan kepimpinan yang diketuai Abdullah mempunyai visi yang jelas untuk mengangkat prestasi KL City FC ke tahap yang lebih tinggi di Liga Super.
“Kejayaan di Liga Super akan membuka lebih banyak peluang kewangan untuk KLFA, sama ada dari kerajaan atau sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khalid, Abdullah mempunyai hubungan politik yang baik dengan pemimpin kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Wilayah.
Hubungan baik ini dilihat sebagai faktor penting dalam memastikan sokongan kewangan yang berterusan kepada KLFA.
Beliau turut memuji gandingan mantap yang dibawa oleh Abdullah, yang terdiri daripada tokoh-tokoh perniagaan seperti Dato Afdlin Shauki dan Dato Azril, yang masing-masing calon Timbalan Presiden.
“Saya yakin pasukan ini mampu meneruskan kecemerlangan KL City FC dan pasukan-pasukan lain di bawah naungan KLFA,” tambah Khalid.
Pemilihan Presiden KLFA kali ini dijangka menarik perhatian lebih 27 kelab gabungan yang akan menentukan masa depan persatuan serta perjalanan bola sepak Kuala Lumpur.