BEKASI: Seramai 56 bakal pengantin mendakwa menjadi mangsa penipuan yang dilakukan oleh sebuah penganjur perkahwinan di Bekasi, Jawa Barat.
Seorang mangsa, Nia Dwiyani berkata, penipuan yang dilakukan oleh penganjur perkahwinan, Harmoni Wedding menyebabkan dia dan mangsa lain mengalami kerugian mencecah 1 bilion rupiah (RM277,000).
“Setakat ini, seramai 14 orang telah membuat laporan, tetapi dalam kumpulan kami terdapat 56 orang mangsa, dengan kerugian keseluruhan mungkin mencapai 1 bilion rupiah,” kata Nia, lapor Tribunnews.
Nia yang berusia 24 tahun menjelaskan jumlah keseluruhan itu mungkin berlaku kerana setiap mangsa mengalami kerugian antara 10 juta rupiah hingga 13 juta rupiah dan mungkin bertambah kerana masih ada mangsa yang belum membuat laporan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Metro Bekasi Kota, Audy Joize Oroh berkata, kes penipuan oleh penganjur perkahwinan tersebut masih lagi dalam siasatan.
“Kami masih menyoal saksi,” kata Audy ketika dihubungi mengenai kes penipuan penganjur perkahwinan sambil menjelaskan masih ada lagi maklumat lain yang belum diperoleh dalam siasatan tersebut.
Kakak mangsa, Ryan Setiawan menjelaskan modus penipuan yang dilakukan oleh penyedia penganjur perkahwinan tersebut adalah dengan menawarkan pakej pernikahan yang murah.
“Adik saya baru bayar 18 juta rupiah, dan jumlah keseluruhan pakej pernikahan adik saya adalah 24 juta rupiah yang sudah termasuk semua kos kecuali katering, itu pun ada promosi,” kata Ryan.
Seorang lagi mangsa juga mendakwa mengalami kerugian hingga 20 juta rupiah akibat ditipu oleh penganjur perkahwinan itu yang menawarkan perkhidmatan sebagai vendor.
Tambah mangsa, dia bersama beberapa mangsa penipuan lain sedang menyediakan bukti transaksi pembayaran kepada penganjur tersebut untuk dilaporkan ke Balai Polis Metro Bekasi Kota. -AGENSI