45 maut, puluhan hilang di Pantai Djibouti

45 maut, puluhan hilang di Pantai Djibouti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DJIBOUTI: Sekurang-kurangnya 45 orang dilaporkan maut, manakala puluhan lagi hilang selepas dua buah kapal yang membawa pelarian dan migran dari Afrika karam di pantai Djibouti, kata agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), kapal-kapal berkenaan berlepas dari Yaman dengan membawa 310 orang sebelum karam di Laut Merah.

“IOM sedang menyokong perkhidmatan kecemasan negara dalam operasi mencari dan menyelamat,” kata organisasi itu dalam satu hantaran di platform X, sambil menambah 32 mangsa yang terselamat telah ditemukan.

Pasukan Pengawal Pantai Djibouti memaklumkan usaha menyelamat bersama telah dijalankan sejak awal pagi Isnin, dengan 115 mangsa diselamatkan, manakala puluhan lagi masih hilang.

Kapal-kapal tersebut dilaporkan karam hanya 150 meter dari pantai berhampiran wilayah barat laut Khor Angar, Djibouti, menurut pihak berkuasa pengawal pantai.

“Kami kekal komited untuk mencari mereka yang hilang dan memastikan keselamatan mangsa yang terselamat,” kata kenyataan pengawal pantai menerusi media sosial, disertai dengan imej beg mayat berwarna putih.

Pada April lalu, sekurang-kurangnya 38 orang, termasuk kanak-kanak, maut selepas kapal dinaiki karam di perairan Djibouti ketika melalui laluan sama di Laut Merah.

Setiap tahun, puluhan ribu orang yang mencari kehidupan lebih baik akan berlepas dari Afrika dan menyeberangi Laut Merah untuk menuju ke Arab Saudi dan negara-negara Teluk lain.

Ia digambarkan oleh badan-badan kemanusiaan sebagai salah satu laluan migrasi paling sibuk dan paling berbahaya di dunia.

Mereka akan meneruskan perjalanan ke negara-negara Teluk untuk mencari pekerjaan. Mereka yang pulang dari Teluk pula akan mengikuti laluan yang sama dalam perjalanan pulang.

Hampir 400,000 orang direkodkan melalui Laluan Timur pada tahun 2023, menurut rekod IOM, dengan hampir 700 orang maut atau hilang pada tahun itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya