3,000 pekerja Indonesia protes tuntut kenaikan gaji minimum

3,000 pekerja Indonesia protes tuntut kenaikan gaji minimum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kira-kira 3,000 pekerja di Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi mengadakan demonstrasi di ibu negara, bagi mendesak kerajaan Presiden, Prabowo Subianto memenuhi dua tuntutan.

Demonstrasi itu menuntut gaji minimum 2025 dinaikkan sebanyak lapan hingga 10 peratus tanpa mengikut Peraturan Kerajaan Nombor 51 Tahun 2023 dan menggesa pembatalan Omnibus Law, Undang-Undang Cipta Kerja.

Demonstrasi besar-besaran itu disertai Konfederasi Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI), Parti Buruh dan kesatuan sekerja lain.

Demonstrasi yang berlangsung pada Khamis adalah permulaan sebelum siri gelombang seterusnya yang dirancang pada hari ini hingga 31 Oktober depan di setiap wilayah, khususnya di pejabat Gabenor dan Datuk Bandar di 350 daerah atau bandar serta 38 wilayah.

Susulan perkembangan itu, polis Indonesia mengerahkan 1,270 anggota untuk meredakan penunjuk perasaan yang berhimpun di Kawasan Patung Kuda, Jakarta Pusat dan sekitarnya.

Ketua Polis Jakarta Pusat, Susatyo Purnomo Condro berkata, kerahan itu melibatkan anggota daripada Polis Daerah Metro Jaya, Polis Bahagian Jakarta Pusat, Tentera Nasional Indonesia dan agensi lain yang berkaitan.

Beliau berkata, pihak keselamatan ditempatkan di beberapa kawasan di sekitar bulatan Patung Kuda Monas dan di hadapan Istana Negara.

“Selain itu, kawalan keselamatan juga dilakukan untuk menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki kawasan Istana Negara,” katanya.

Susatyo turut mengingatkan anggota keselamatan untuk mengutamakan rundingan dan tidak menimbulkan provokasi terhadap penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan memberi amaran akan mengadakan gelombang protes lebih besar di peringkat nasional pada 11 atau 12 November depan sekiranya tuntutan berkenaan gagal mendapat perhatian kerajaan.- ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN