KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyatakan kekecewaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya bersama anak guam kecewa terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sebaik sahaja diperintahkan untuk membela diri.
Selain itu, bagi keterangan membela diri yang akan dijalankan 2 Disember ini, beliau turut memaklumkan akan memanggil sekurang-kurangnya 11 orang saksi.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan siapa yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Kita merasakan sangat kecewa dengan keputusan pada hari ini. Anak guam saya juga merasakan perkara yang sama.
“Namun, kami tidak akan berputus asa. Kami akan terus melawan kes ini disebabkan keputusan mengecewakan oleh hakim pada hari ini.
“Berkenaan berapa ramai yang akan terlibat dalam mengambil keterangan membela diri adalah tidak kurang daripada 11 saksi dan mungkin akan melibatkan lebih ramai lagi pada 2025,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan anak guamnya berada dalam keadaan baik. – UTUSAN