ZACATECAS: Seramai 19 orang terkorban dan enam yang lain cedera dalam kemalangan bas di sebuah lebuh raya di wilayah Zacatecas, Mexico, awal pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Kejadian berlaku pada waktu awal pagi apabila bas yang membawa mangsa berkenaan bertembung dengan bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan jagung.
Muatan treler tersebut dikatakan telah terlucut, menyebabkan pertembungan tersebut berlaku.
Gabenor Zacatecas, David Monreal, pada awalnya melaporkan angka kematian seramai 24 orang, namun Pejabat Peguam Negara kemudiannya menyemak semula jumlah tersebut dalam satu kenyataan.
Menurut Pejabat Peguam Negara, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi menahan pemandu treler berkenaan.
Pada pagi Sabtu, usaha masih dijalankan untuk mengeluarkan beberapa mayat yang terjatuh ke dalam gaung, menurut seorang pegawai kerajaan tempatan yang enggan dikenali, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat dan pasukan keselamatan termasuk anggota tentera sedang mengawal kawasan tersebut, sementara pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mengeluarkan mayat mangsa.
Bas tersebut dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Ciudad Juarez, sebuah bandar berhampiran sempadan AS-Mexico di negeri Chihuahua.
Pejabat Peguam Negara turut mengesahkan mangsa yang terlibat bukan daripada golongan migran. -AGENSI