MARACAIBO: Sekurang-kurangnya 18 orang termasuk pekerja, penduduk tempatan dan anggota bomba, dilaporkan cedera dalam kebakaran di sebuah tangki simpanan minyak mentah di terminal minyak La Salina, Venezuela, semalam.
Menurut sumber, kebakaran tersebut tercetus semasa ribut berlaku dan berterusan hingga ke petang.
Fasiliti tersebut diuruskan oleh syarikat minyak negara PDVSA untuk kegunaan domestik, terletak berhampiran bandar Cabimas berhampiran Tasik Maracaibo.
“Mereka menganggarkan 18 orang cedera, termasuk anggota bomba dari Cabimas, pekerja PDVSA dan juga penduduk tempatan,” kata salah seorang sumber.
Insiden seperti kebakaran, gangguan bekalan elektrik dan kejadian lain sering berlaku di fasiliti PDVSA akibat kemerosotan tapak pengeluaran minyak, kilang penapisan, terminal, saluran paip dan kapal.
Anggota bomba dari Cabimas berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengawal dan memadamkan kebakaran yang menghasilkan asap hitam tebal.
Tangki berkenaan mengandungi kira-kira 75,000 tong minyak ketika kebakaran berlaku di kawasan simpanan terminal, kata Ketua Bomba Cabimas, Mufid Houmeidan.
Mangsa yang cedera termasuk Ketua Bomba dibawa ke hospital PDVSA di kawasan itu bagi menerima rawatan lanjut, menurut sumber.
Terminal Bajo Grande berdekatan yang digunakan oleh PDVSA dan pengeluar dari Amerika Syarikat, Chevron, untuk mengeksport minyak mentah dan bahan api, tidak terjejas akibat kejadian tersebut, kata sumber yang dekat dengan operasi terminal itu. -AGENSI