KUALA TERENGGANU: Hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 bakal menjadi rebutan seramai 170 pelumba pada perlumbaan edisi ketiga Tour Gateh D’Tranung bermula 22 sehingga 28 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 25 pasukan disahkan akan mengambil bahagian pada perlumbaan berkenaan.
Menurutnya, lima kategori dipertandingkan iaitu jersi kuning (individu keseluruhan), jersi hijau (raja pecut), jersi polka dot (raja bukit), jersi oren (kelab terbaik) serta jersi putih (pelumba muda terbaik).
“Antara pasukan profesional tempatan yang bertanding ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Armed Force Cycling Team, Majlis Sukan Negara Malaysia, Selangor Cycling dan Propain Cycling Team. Manakala dari luar negara pula Global Cycling Team (Belanda), Australia Velofit Cycling Team dan NC Pro Cycling Team Indonesia serta kelab China, Singapura dan Thailand,” katanya.
Hishamuddin menjelaskan, peringkat pertama Tour Gateh D’Tranung bakal berlangsung di Dungun pada 22 Oktober membabitkan perlumbaan sejauh 158 kilometer (km), peringkat kedua pula di Marang sejauh 107.8km, peringkat ketiga di Hulu Terengganu (167.5km), peringkat keempat di Kuala Nerus (181km) dan peringkat kelima kriterium di Jambatan Angkat (57km)..
“Sebenarnya kita terima permohonan dari 35 pasukan namun hanya 25 sahaja dipilih bagi memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI,” tambahnya. – UTUSAN