16 maut dalam banjir di Bosnia - Utusan Malaysia

16 maut dalam banjir di Bosnia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DONJA JABLANICA: Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan ramai lagi dilaporkan masih hilang selepas banjir besar dan tanah runtuh memusnahkan rumah, jalan raya, serta jambatan di kawasan tengah Bosnia dan Herzegovina, semalam, kata pihak berkuasa.

Kawasan Perbandaran Jablanica, kira-kira 70 km dari barat daya Sarajevo, ibu negara Bosnia, yang melaporkan kematian tersebut, terputus hubungan sepenuhnya selepas jaringan jalan raya dan landasan kereta api musnah.

“Seramai 16 orang disahkan maut, kebanyakannya di kawasan Jablanica,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri wilayah, Ljudevit Maric, kepada Reuters sambil menambah pencarian mangsa yang hilang masih diteruskan.

Pertahanan Awam Bosnia menyatakan antara 20 hingga 40 orang masih hilang, dipercayai terperangkap di bawah runtuhan atau dihanyutkan banjir, menurut laporan N1 TV.

Menteri Pengangkutan Bosniak-Croat, Edin Forto, menyatakan situasi di kawasan terjejas amat kritikal.

“Banjir kilat ini menghanyutkan rumah-rumah, termasuk tapak konkrit dan asas bangunan. Saya tidak pernah melihat bencana sebesar ini,” katanya.

Dalam mesyuarat tergempar, Kerajaan Pusat Bosnia memaklumkan akan memperuntukkan dana untuk pemulihan kawasan yang terjejas.

Ketua Pertahanan Awam Persekutuan Bosniak-Croat, Aldin Brasnjic berkata, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk sampai ke beberapa kampung yang terjejas akibat jalan yang terhalang, dan hujan yang dijangka turun akan menyukarkan lagi usaha mereka.

“Pencarian mangsa yang hilang menjadi keutamaan pada masa ini. Kami berharap ia dapat diselesaikan hari ini atau esok,” katanya.

Banjir di Bosnia ini berlaku selepas musim kemarau yang teruk pada musim panas, menyebabkan banyak sungai dan tasik kering, serta menjejaskan pertanian dan bekalan air ke kawasan bandar di seluruh Balkan dan sebahagian besar Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya