ALOR SETAR: Seorang warga Pakistan terlepas hukuman mati mandatori setelah Mahkamah Persekutuan menggantikan dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh dengan cara memancung leher seorang doktor yang didakwa menghina agama, 13 tahun lalu.
Keputusan ke atas Syafaqat Ali Ghulam Nabi, 43, dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki itu dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos 2011.
Sebelum persidangan bermula, Syafaqat tiba-tiba bangun merayu agar hukuman gantung ke atasnya dikekalkan atas alasan tidak mahu lagi meringkuk dalam penjara.
“Saya tidak mahu masuk penjara lagi. Kalau gantung saya sakit sekali sahaja lepas itu mati tetapi dipenjara saya terseksa,” ujarnya.
Peguam pemohon, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud kemudian mengemukakan hujah termasuk berkaitan masalah mental lelaki itu yang disahkan pakar di Hospital Seberang Perai, Pulau Pinang.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abd. Aziz kemudian memohon agar hukuman berat ke atas lelaki berkenaan yang bertindak memancung majikannya itu.
Pada 25 Ogos 2015, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap Syafaqat oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Harjit Singh Bachan Singh, 51, di Kampung Sungai Padang Sertik, Bentong, Pahang pada 8.30 malam, 23 Ogos 2011.
Menurut fakta kes, Syafaqat yang bekerja di kebun tanaman pokok kemboja si mati menggunakan parang sepanjang dua kaki untuk memancung leher mangsa dengan kepala ditemukan di hadapan rumahnya.
Rakan warga Pakistan itu, Jamsheet Ali dalam keterangannya berkata, sebaik pulang ke rumah daripada bekerja pada malam kejadian, dia melihat Syafaqat dan doktor berkenaan berbual-bual di luar rumah.
Jamsheet turut menyertai mereka untuk bersama-sama minum teh sebelum Syafaqat menyuruhnya masuk ke dalam rumah sebelum 15 minit kemudian Syafaqat datang menemuinya di dapur dan memberitahu yang dia telah memancung leher si mati.
Saksi itu berkata, Syafaqat memberitahunya dia membunuh doktor terbabit kerana tidak dapat menerima perbuatannya menghina Kaabah. – UTUSAN