Warga emas kibar Jalur Gemilang di Gunung Tahan

Warga emas kibar Jalur Gemilang di Gunung Tahan

MAHANI Meran (barisan belakang, empat dari kiri) bersama pendaki Team Harok Adventure ketika mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan di Jerantut, Pahang. baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang warga emas bukan sahaja berbangga malah gembira dapat mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan di sini sempena Hari Malaysia, baru-baru ini.

Warga emas itu, Mahani Meran, 61, bersama 18 pendaki Team Harok Adventure menawan puncak Gunung Tahan setelah pendakian selama lima hari bermula di Kem Kuala Juram, Merapoh.

Mahani berkata, ketika diajak oleh rakan, dia tidak begitu yakin memandangkan usianya sudah melewati 60 tahun berbanding pendaki lain yang masih muda dan kuat.

“Saya memberanikan diri mencuba lagipun dalam kalangan rakan yang turut serta juga berusia melebihi 50 tahun menyuntik semangat untuk menyertai aktiviti tersebut hanya semata-mata untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia,” katanya selepas turun dari puncak Tahan di Kem Sungai Relau, Merapoh di sini.

Menurut Mahani, dia dan tiga rakannya membuat persiapan dua minggu awal dengan melakukan senaman dan melakukan pemeriksaan perubatan bagi membolehkan mereka menyertai pendakian tersebut.

“Tidak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata betapa indah dan tenangnya serta badan berasa segar dengan tiupan angin yang nyaman ketika berada di puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter dan kami bersyukur kerana dapat menghayati kebesaran Allah SWT,” katanya.

Jelasnya, dia serta rakan pendaki lain ‘melunaskan’ niat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Tahan sempena sambutan Hari Malaysia dan peristiwa itu akan dikenang sehingga akhir hayat.

Katanya, kumpulan pendaki cuma mengambil masa selama sejam berehat di puncak gunung sambil makan tengah hari dan menunaikan solat Zuhur serta merakamkan gambar suasana keindahan puncak tersebut sebelum turun semula.

Rakan pendaki, Zahid Haron, 58, berkata, ada beberapa cabaran terpaksa ditempuh semasa mendaki, tetapi berjaya diatasi menerusi panduan arah dan penjagaan keselamatan di bawah pemantauan malim gunung Taman Negara Kuala Tahan yang cukup berpengalaman.

Ceritanya lagi, sebagai seorang yang usia sudah menjangkau 60-an, dia sentiasa bertarung dengan cabaran, iaitu kudrat ketika mendaki, tetapi berasa syukur kerana berpeluang berhenti rehat dan bermalam di beberapa buah kem bagi melepaskan lelah serta merancang perjalanan keesokannya di bawah nasihat malim gunung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN