PUTRAJAYA: Hampir 100 individu yang mewakili majikan merayu pihak kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 selepas ditutup tiba-tiba tanpa sebarang pemberitahuan notis awal.
Menurut wakilnya, Syahputra Marwan, mereka kesal kerana sistem untuk inisiatif skim pemutihan tersebut berlaku serta-merta pada 7 Ogos lalu ketika majikan sudah mendapat kelulusan kuota, namun tidak dapat membuat pembayaran.
Beliau berkata, pihaknya pernah cuba menghantar petisyen itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu tetapi tiada sebarang maklum balas diterima selain menghantar kepada Ketua Pengarah JIM pada 14 Ogos.
Ia disusuli pertemuan bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 16 Ogos lepas dan kemudian mengemukakan rayuan buat julung kali kepada KDN pada 20 Ogos lalu.
“Langkah ini dijangka dapat menyelesaikan banyak isu urusan tertunda sehingga dapat kelulusan pelekat elektronik untuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“RTK yang dilancarkan KDN pada 2020 lalu membolehkan ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) ingin bekerja di Malaysia dapat berada di negara ini dengan permit sah, namun penutupan tanpa makluman awal itu mengakibatkan ribuan PATI terkandas walhal semua prosedur pemutihan ditetapkan JIM sudah diikuti pihak majikan,” katanya.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum rayuan kepada wakil KDN, Norhayati Abdul Manaf yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang wakil majikan, Rewathi Ragendran kesal insiden itu memberikan kesan besar kepada ratusan majikan kerana mereka tidak dimaklum secara lebih awal.
Katanya, ada yang sudah beratur awal di pejabat JIM sejak pukul 6 pagi namun sistem RTK 2.0 ditutup pula 10 pagi.
“Kami anggar hampir 400 majikan di seluruh Malaysia dan melibatkan lebih 5,000 pekerja asing gagal melakukan pendaftaran pemutihan itu ekoran penutupan tersebut.
Bayaran yang dijelaskan itu pula jelas Rewathi, tidak juga dikembalikan dan alasan pihak JIM hanya sekadar meminta majikan terlibat sabar menunggu perkembangan berikutnya.
“Paling dibimbangi majikan apabila ada yang sudah menyerahkan pasport PATI terbabit untuk diputihkan pihak JIM namun tidak pula dipulangkan selepas sistem RTK 2.0 ditutup.
“Situasi ini mengakibatkan majikan ketakutan kerana bimbang ditangkap kerana menggaji PATI malah pekerja asing itu tidak berani kerja sebab risau ditahan oleh JIM,” jelasnya yang menganggarkan setiap pekerja mencecah kos hampir RM2,000 tidak termasuk kompaun kerana status sebagai PATI didenda RM1,500. – UTUSAN