PETALING JAYA: Skuad ragbi lelaki Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengekalkan pingat emas dalam acara ragbi 7s di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Ahad.
Dalam perlawanan akhir yang diadakan di padang ragbi UUM, UPM selaku juara bertahan menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan 21-0, sekali gus mengukuhkan dominasi mereka dalam acara tersebut.
Pengurus pasukan UPM, Muhammad Zyuraidi Abdul Majid, menyatakan bahawa kemenangan kelima dalam temasya SUKIPT ini lebih bermakna kerana pasukan mereka tidak dibolosi sejak acara bermula pada Jumaat lalu hingga perlawanan akhir.
“Kami bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi dengan barisan pemain tahun pertama dan kedua yang menunjukkan komitmen tinggi. Kunci kejayaan adalah disiplin dan persiapan rapi yang dijalankan di Serdang sebelum bertanding di SUKIPT,” kata Muhammad Zyuraidi.
UPM mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat kumpulan dengan kemenangan besar menewaskan UniKL (32-0), IPG KL (29-0), UTEM (34-0), Politeknik Malaysia (24-0), dan mengatasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) 34-0 di separuh akhir.
Meskipun berjaya mencapai sasaran emas, Muhammad Zyuraidi mengakui bahawa pasukannya berdepan saingan sengit terutamanya di peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir. Bagaimanapun, kekuatan mental dan tahap keyakinan pemain yang tinggi menjadi faktor utama kejayaan mereka mengekalkan rekod tanpa dibolosi hingga peringkat akhir.
Sementara itu, skuad ragbi 7’s wanita UiTM pula meraih gelaran juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia 19-5 dalam perlawanan akhir.