DUSHANBE: Ulama terkemuka Tajikistan, Sayeedmukarram Abduqodirzoda, cedera akibat ditikam dalam satu serangan di pekarangan sebuah masjid utama di ibu kota Dushanbe, semalam.
Kementerian Dalam Negeri yang dipetik Reuters melaporkan, suspek yang telah ditahan dipercayai menyerang selepas mangsa selesai menunaikan solat.
“Sayeedmukarram hanya cedera ringan dan dibenarkan keluar daripada hospital selepas menerima rawatan,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan sama, pihak berkuasa telah menahan penyerang dan membuka kes jenayah berkaitan insiden tersebut.
Menurut pihak berkuasa, tindakan pelaku bukan bermotifkan politik.
Sayeedmukarram, 61, berkhidmat sebagai pengerusi institusi Islam tertinggi negara ini, Majlis Ulama sejak tahun 2010.
Tajikistan adalah sebuah negara dengan kira-kira 10 juta penduduk dan terletak antara Afghanistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan China.
Majoriti rakyat negara ini adalah pengikut mazhab Hanafi dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. – AGENSI