KAMPALA: Kementerian Kesihatan Uganda mengesahkan sebanyak lima kes wabak mpox selepas tiga kes baharu direkodkan pada Sabtu.
Pengarah Kesihatan Awam, kementerian itu, Daniel Kyabayinze berkata, kes baharu itu dikesan di bandar Elegu, daerah Amuru, Mayuge iaitu sebuah daerah di timur Uganda dan bersempada Sudan Selatan dan Kawaala.
Jelasnya, tiga pesakit baharu itu kini menerima rawatan di Pusat Pengasingan Nasional Entebbe, kira-kira 40 kilometer di selatan Kampala.
“Awal bulan lalu, petugas kesihatan mengesan dua kes mpox dari negara jiran, Kongo di daerah barat Uganda, Kasese.
“Dua kes positif itu adalah antara enam kes disyaki jangkitan di Mpondwe dan Bwera, bandar yang bersempadan dengan Kongo,” katanya. -AGENSI