Topi kulit beruang Pengawal Raja Istana Buckingham naik harga

Topi kulit beruang Pengawal Raja Istana Buckingham naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kementerian Pertahanan Britain mempertimbangkan untuk menukar topi kulit beruang yang dipakai oleh Pengawal Raja di Istana Buckingham kepada topi berbulu sintetik, selepas harga aksesori tersebut meningkat lebih 30 peratus baru-baru ini.

Menurut kementerian itu semalam, ia selepas harga topi tersebut naik kepada 2,040 pound Sterling (RM11,542) seunit pada tahun ini berbanding 1,560 pound Sterling (RM8,827) pada 2022.

“Kenaikan harga ini berpunca daripada perubahan kontrak untuk bulu yang datang dari beruang yang dibunuh dalam pemburuan berlesen di Kanada,” jelas kenyataan itu seperti laporkan Reuters.

Jelas kementerian, sehubungan itu pihaknya kini terbuka kepada sebarang cadangan menukar aksesori tersebut termasuk topi diperbuat daripada bulu palsu.

Pertimbangan itu melegakan badan aktivis haiwan, Pertubuhan Bagi Layanan Beretika Kepada Haiwan (PETA) yang pernah mendesak Britain menukar topi itu yang disifatkan memaksa pembunuhan berleluasa beruang.

“Berhentilah membazirkan wang pembayar cukai untuk topi yang diperbuat daripada haiwan yang dibunuh dan beralihlah kepada bulu tiruan,” jelas kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

PETA memaklumkan, satu pengeluar bulu tiruan mewah telah menawarkan untuk membekalkan angkatan tentera dengan bulu beruang tiruan secara percuma selama 10 tahun.

Jelas badan itu lagi, lebih sejuta pound (RM7.36 juta) telah dibelanjakan untuk topi tersebut sepanjang 10 tahun lalu, malah setiap topi memerlukan satu kulit beruang.

Parlimen membahaskan isu itu pada Julai 2022 selepas satu petisyen dalam talian dengan lebih 100,000 tandatangan meminta penggunaan bulu tiruan dalam topi tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN