TMJ cadang skuad kebangsaan diswastakan

TMJ cadang skuad kebangsaan diswastakan

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.-IHSAN hrhcrownprinceofjohor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan supaya pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau dalam erti kata lain diswastakan.

Perkara itu disuarakan Tunku Ismail sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi perkara itu di laman sosial miliknya dengan menunjukkan sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas berkenaan.

Berdasarkan dokumen itu, organisasi berkenaan akan diketuai seorang Ketua Pegawai Bolasepak (CSO) atau Pengarah Teknikal.

Ia akan dibantu beberapa pegawai termasuk Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi & Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.

Dalam perkongsian itu juga, Tunku Ismail memuat naik gambar beliau bersama Anwar pada 23 Ogos lalu iaitu sehari sebelum aksi final Piala FA antara JDT dan Selangor FC bulan lalu.

Sebelum ini, cadangan sama pernah dibangkitkan namun ia mendapat tentangan hebat pemerhati dan bekas pemain kebangsaan.

Terdahulu, Anwar mengumumkan durian runtuh buat pasukan negara dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Dimaklumkan RM10 juta datangnya daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan manakala baki RM5 juta lagi merupakan tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.

Pengumuman itu dilakukan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN