Tiga pesawat Boeing 777 dipindahkan guna trak besar

Tiga pesawat Boeing 777 dipindahkan ke Riyadh guna trak besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Syarikat penerbangan nasional Kerajaan Arab Saudi, Saudia, baru-baru ini berjaya memindahkan tiga pesawat Boeing 777 dari Lapangan Terbang Jeddah ke Riyadh.

Menariknya, ia bukan diterbangkan antara kedua-dua lapangan terbang tersebut, sebaliknya pesawat-pesawat besar ini dipindahkan melalui jalan darat menggunakan trak-trak besar.

Berdasarkan foto-foto yang disiarkan dalam platform media sosial X milik syarikat tersebut, fiuslaj hampir lengkap bagi ketiga-tiga pesawat tersebut diangkat menggunakan kren ke atas treler kenderaan dan dibawa sejauh 850 km dari lapangan terbang di Jeddah menuju ke Riyadh.

Pesawat-pesawat tersebut akan dileraikan untuk mendapatkan bahagian yang masih berguna, manakala fiuslajnya akan digunakan sebagai tarikan pelancong baharu dikenali sebagai ‘Boulevard Runway’.

Ketiga-tiga pesawat yang terlibat adalah jenis Boeing 777-200ER yang sebelum ini mampu membawa 341 penumpang dalam kabin tiga kelas ketika masih beroperasi dengan syarikat penerbangan tersebut.

Ketiga-tiga pesawat yang bakal dipindahkan tersebut sudah dihentikan perkhidmatan dan sejak itu tidak digunakan bagi operasi penerbangan.

Foto-foto yang disiarkan dalam X menunjukkan ketiga-tiga pesawat dengan sayap, ekor, dan penstabil mendatar telah dibuka, dengan kren digunakan untuk mengangkat rangka pesawat ke atas treler bagi perjalanan terakhir mereka.

Kesemua pesawat ini digantikan dalam perkhidmatan dengan pesawat Boeing 777-300ER yang lebih besar, dengan syarikat penerbangan ini masih mengoperasikan 37 daripadanya, serta baru-baru ini, Boeing 787-8 dan 787-9. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN