Tiga pembantu pengajar madrasah didakwa lakukan amang seksual

Tiga pembantu pengajar madrasah didakwa lakukan amang seksual

TIGA lelaki yang juga pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi didakwa Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki di madrasah berkenaan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga lelaki yang sebelum ini ditahan dalam Op Global yang mempunyai kaitan dengan syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

Ketiga-tiga mereka iaitu, Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 21; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Bag tertuduh pertama iaitu, Muhammad Habib Noh dia didakwa atas lima pertuduhan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada tahun 2022.

Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ahmad Nadzful Izham pula didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di madrasah yang sama pada di antara bulan Jun hingga Disember 2023.

Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Enam pertuduhan lagi di bawah seksyen dan akta yang sama turut dikenakan kepada Muhammad Khunais Fathie yang didakwa melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di madrasah yang sama pada tahun 2023.

Jika sabit kesalahan terhadap kesemua pertuduhan, masing-masing tertuduh yang juga pembantu pengajar dan penjaga di madrasah terlibat boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis pada setiap bulan, serta perlu sentiasa boleh dihubungi pihak polis.

Surita juga menetapkan tarikh 30 Oktober depan untuk proses lantikan peguam dan serahan dokumen.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, tiga individu yang sebelum ini ditahan dipercayai berkaitan jenayah seksual membabitkan sebuah rumah amal melibatkan GISBH akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mendapat kebenaran dari Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi menuduh ketiga-tiga individu terbabit dengan 14 pertuduhan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN