PETALING JAYA: Gara-gara terlalu memikirkan mahu membawa pulang pingat akhirnya telah memakan diri sendiri apabila pemain badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar tewas dalam aksi penentuan gangsa dalam Sukan Paralimpik Paris 2024.
Fareez tewas kepada atlet Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-19, 21-12 dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) mengakui dia meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada dirinya.
“Apa yang membezakan antara saya dan Dheva adalah pengalaman lawan pernah beraksi di Tokyo 2020 dan paling penting saya tidak dapat mengawal diri.
“Saya memang agak keras kerana terlampau berharap (pingat gangsa) sehinggakan permainan saya serba tidak menjadi hari ini (semalam),” katanya.
Dalam pada itu, Fareez turut mengakui dia tidak menikmati permainannya ketika menentang pemenang perak dari Indonesia, Suryo Nugroho selepas tewas 12-21, 21-14, 6-21, kelmarin.
“Saya memang tak dapat nikmati permainan separuh akhir kerana ia paling tertekan sebab ketika itu saya memang fikir harapan untuk beraksi dengan (Cheah) Liek Hou di final kerana jika mara sah pingat dalam tangan,” katanya lagi.
Sementara itu, jurulatihnya, Nova Armada tetap berbangga dengan pencapaian yang dilakukan Fareez selepas membuat penampilan pertama di Sukan Paralimpik.
“Memang saua Fareez tidak dapat pingat kerana saya benar-benar mahukan dia meraihnya,” kata Nova. – UTUSAN