HANOI: Sekurang-kurangnya 141 terkorban dan 54 dilaporkan masih hilang di utara Vietnam, setelah taufan super Yagi membadai negara sejak Sabtu lalu, yang mencetuskan hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.
Ribuan orang di beberapa wilayah utara terperangkap di atas bumbung, manakala sebahagian lain memohon bantuan dalam media sosial.
Taufan Yagi, ribut paling kuat melanda Vietnam dalam tempoh 30 tahun, merosakkan utara negara itu dan menyebabkan 1.5 juta penduduk terkesan gangguan bekalan elektrik.
Dalam kejadian Isnin lalu, rakaman menunjukkan detik jambatan Phong Chau di wilayah Phu Tho runtuh, menyebabkan beberapa kenderaan terjatuh ke dalam air.
Walaupun taufan Yagi kini beransur lemah, pihak berkuasa memberi amaran ia akan terus menyebabkan gangguan ketika bergerak ke arah barat.
Taufan tersebut, membawa angin hampir 150 kilometer sejam, merosakkan jambatan, merobohkan bumbung bangunan, merosakkan kilang dan mencetuskan banjir serta tanah runtuh.
Pihak berkuasa kini mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh untuk 401 kawasan di 18 wilayah utara.
Selain jumlah kematian dan orang hilang, banjir serta tanah runtuh juga mencederakan sekurang-kurangnya 752 yang lain.
Sebelum melanda Vietnam, taufan Yagi meragut 24 nyawa lain di selatan China dan Filipina.