MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya dua orang terkorban apabila Taufan John melanda pesisir pantai selatan Pasifik Mexico, namun taufan tersebut beransur reda pada Selasa.
Taufan John melanda daratan sebagai taufan Kategori 3 pada malam Isnin dengan kelajuan angin sehingga 193 kilometer sejam, sebelum statusnya diturunkan kepada ribut tropika dan hampir hilang kekuatannya menjelang petang Selasa.
Walaupun begitu, ramalan cuaca memberi amaran tentang kemungkinan hujan lebat dan banjir kilat yang bakal melanda kawasan pesisir pantai dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Taufan John mengakibatkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak terkorban selepas kediaman mereka di kawasan pergunungan bandar Tlacoachistlahuaca dilanda tanah runtuh, menurut Gabenor negeri Guerrero, Evelyn Salgado, dalam sidang akhbar.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) dalam kemas kini memaklumkan sisa ribut itu berada sekitar 112 kilometer dari bandar peranginan Acapulco, dengan angin berkelajuan 56 kilometer sejam.
Taufan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Acapulco, yang masih trauma dengan kesan kemusnahan Taufan Otis, taufan Kategori 5 yang menyebabkan kematian dan kehancuran besar pada Oktober tahun lalu.
Marta Sotelo, seorang penduduk tempatan, memberitahu AFP keadaan angin yang semakin kencang mengingatkannya kepada detik-detik ngeri Taufan Otis, dengan ‘debu berterbangan, kepingan besi melayang, segalanya.’
“Anak-anak menjadi panik,” katanya sambil menambah bahawa dia dan ahli keluarganya memilih untuk berlindung di pusat perlindungan sementara bagi menunggu Taufan John reda. -AFP