Taufan Helene landa Florida, bawa angin kencang 225 km/j

Taufan Helene landa Florida, bawa angin kencang 225 kilometer sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TALLAHASSEE: Taufan Helene melanda Florida malam tadi dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam, menjadi ribut kategori 4 pertama yang melanda wilayah ini sejak tahun 1851.

Portal berita USA Today melaporkan, Helene mendarat sekitar pukul 11.10 malam waktu tempatan berhampiran Perry, Florida, kira-kira 72 kilometer di tenggara Tallahassee.

Ribut itu memaksa penutupan sekolah, lapangan terbang dan jalan raya di seluruh Florida selepas kekuatan Helene meningkat dengan cepat dalam beberapa jam semasa melintasi Teluk Mexico.

Lebih 70,000 orang di empat daerah iaitu Franklin, Taylor, Liberty dan Wakulla terpaksa dipindahkan apabila ramalan cuaca menunjukkan Helene mungkin membawa kemusnahan teruk.

Pengarah Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), Mike Brennan berkata, hujan lebat dibawa ribut itu dijangka membawa banjir sedalam 4.5 meter ke enam meter di beberapa kawasan.

“Sekiranya berlaku, banjir itu boleh menenggelamkan bangunan setinggi dua tingkat. Penduduk yang tinggal berhampiran pantai mungkin terjejas teruk,” katanya.

Tambahnya, kemusnahan juga dijangka bertambah teruk dengan ombak besar yang boleh menghanyutkan kenderaan serta rumah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, lapangan terbang di Tampa dan Tallahassee juga ditutup, sementara beberapa lokasi di St. Petersburg, Tampa, Sarasota, Treasure Island dan bandar-bandar di pantai barat Florida sudah dinaiki air.

Kira-kita 125,000 buah rumah dan premis perniagaan turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Helene dijangka menghala ke arah barat laut di Lembah Tennessee hari ini dan esok.

Sebagai persiapan terhadap kesan ribut itu, Presiden Joe Biden mengisytiharkan darurat untuk Florida, Georgia, North Carolina, South Carolina dan Alabama bagi menggerakkan sumber pengurusan kecemasan persekutuan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN