Tarikh pendaftaran Larian Keluarga Malaysia 2024 dilanjutkan - Utusan Malaysia

Tarikh pendaftaran Larian Keluarga Malaysia 2024 dilanjutkan

YAYASAN KELUARGA MALAYSIA (YKM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) dan penganjur bersama, Ten Senses (M) Sdn. Bhd. melanjutkan tarikh pendaftaran sehingga 15 September ini.

YKM dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat berikutan masih terdapat permintaan yang amat menggalakkan daripada orang ramai untuk mendaftar meskipun pendaftaran LKM 2024 telah ditutup 7 September lalu. 

“Justeru, YKM ingin menyeru kepada orang ramai untuk tidak melepaskan peluang ini dan segera mengesahkan penyertaan melalui laman web https://www.ticket2u.com.my/event/36349/larian-keluarga-malaysia-2024 sebelum 15 September ini bagaimanapun saiz baju LKM 2024 amat terhad.  

“Cabutan bertuah bernilai lebih RM70,000 akan menanti para peserta yang mendaftar dalam LKM 2024 seperti sebuah kereta Perodua Axia, telefon bimbit, pakej percutian, televisyen, basikal, peralatan elektrik, hamper serta pelbagai hadiah menarik lagi,” katanya.

Terdahulu, LKM 2024 merupakan larian amal bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang hilang tempat bergantung akibat Pandemik COVID-19. 

Tambah YKM, mereka juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah kendaliannya mendapat pendidikan yang sempurna dan memastikan kebajikan mereka terbela. 

Larian ini akan disertai oleh Perdana Menteri ke-9 yang juga Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Duta LKM, saudara Khairy Jamaluddin.

“Turut sama, lagenda-lagenda sukan negara seperti, pemenang pingat perak sukan Olimpik 2016, Goh Liu Ying, Jaguh Bina Badan Asia, Datuk Malek Nor, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Santokh Singh, Roslin Hashim, Datuk Marina Chin dan Datuk Zaiton Othman.

“Larian ini turut dikuasakan oleh Keluar Sekejap sebagai podcast rasmi, Hot FM sebagai radio rasmi manakala Free Malaysia Today dan Sinar Harian sebagai media rasmi LKM 2024,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN