PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada gandingan No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon, Hong Kong, sebentar tadi.
Pasangan No. 9 dunia tersebut tewas straight set 14-21, 21-23 kepada pilihan pertama kejohanan dari China itu dalam masa 56 minit.
Walaupun tumpas, Tang Jie-Ee Wei sekurang-kurangnya mempamerkan prestasi konsisten apabila mereka berjaya melangkah sejauh separuh akhir pada kejohanan Super 500 itu.
Dua minggu lalu, mereka merangkul gelaran Terbuka Korea selepas membenam gandingan China, Guo Xin Wa-Li Qian 17-21, 21-13, 21-13 dalam perlawanan akhir.
Kekalahan tersebut menyaksikan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil tunggal negara mara ke perlawanan akhir. – UTUSAN