BRUSSELS : Suruhanjaya Eropah bakal melancarkan sebuah projek bernilai 2 juta euro (RM10.4 juta) bagi menangani isu Long Covid, yang menjejaskan 36 juta penduduk di seluruh Eropah dalam tempoh tiga tahun pertama pandemik, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Long Covid menyebabkan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dilanda kerugian antara 0.2 hingga 0.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 akibat pengurangan tenaga kerja, menurut anggaran Suruhanjaya Eropah.
Projek yang akan dibiayai oleh program EU4Health, akan dikendalikan oleh WHO dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Matlamat utama projek ini adalah untuk mentakrifkan Long Covid, membangunkan sistem pemantauan, mempromosikan pertukaran maklumat dalam kalangan profesional kesihatan, serta menyediakan panduan klinikal kepada negara anggota EU.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyokong pesakit yang terjejas dan penjaga mereka, menilai kesan Long Covid, serta mengenal pasti kekurangan dan keperluan penyelidikan yang perlu ditangani.
Suruhanjaya Eropah turut merancang untuk mewujudkan sebuah kumpulan yang terdiri daripada profesional dan pesakit Long Covid bagi berkongsi pengalaman mereka.-AGENSI