Sudan lancar kempen tangani kolera - Utusan Malaysia

Sudan lancar kempen tangani kolera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Sudan melancarkan kempen memerangi wabak kolera selama sebulan dalam usaha memberi kesedaran serta cara menanganinya dalam kalangan rakyat negara ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan Sudan, Haitham Mohamed Ibrahim selepas mesyuarat tergempar jawatankuasa kecemasan kesihatan dan kemanusiaan di Kassala, di Sudan Timur.

Menurut Haitham, kempen itu bertujuan memerangi kolera, meningkatkan respons terhadap penyakit tersebut, menyatukan usaha, memanfaatkan sumber yang ada dan memaksimumkan peranan komuniti dengan tumpuan diberi dalam usaha membersihkan alam sekitar.

“Program ini juga merangkumi pemberian vaksinasi, kawalan vektor, intervensi kesihatan alam sekitar, kawalan makanan dan penulenan air.

“Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kolera,” katanya seperti dipetik agensi berita Xinhua.

Haitham pada masa sama memaklumkan, sebanyak 12,896 kes kolera termasuk 388 kematian, direkodkan di seluruh negara setakat ini.

Jelas beliau, sembilan negeri terjejas dengan wabak kolera iaitu Kassala, Gedaref, Laut Merah, Sungai Nil, Sudan Utara, Khartoum, Gezira, Nil Putih dan Sinnar.

Kementerian Kesihatan Sudan mengisytiharkan wabak kolera pada 17 Ogos lalu dan mengaitkan penyebarannya dengan keadaan alam sekitar yang merosot akibat perang dan penggunaan air yang tidak bersih.

Sejak pertikaian antara Angkatan Bersenjata Sudan dan Pasukan Sokongan Rapid meletus pada April 2023, wabak seperti kolera, malaria, campak, dan demam denggi merebak, menyebabkan ratusan kematian.

Konflik itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 16,650 kematian dan memindahkan jutaan orang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya