MONTEVIDEO: Penyerang Uruguay Luis Suarez mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa selepas menamatkan karier 17 tahun bersama pasukan kebangsaan dan menjadi penjaring terbanyak dengan 69 gol.
Pemain berusia 37 tahun itu yang mempunyai 142 kap untuk negaranya tampil kali pertama di peringkat antarabangsa pada 2007 dan menjadi nadi Uruguay mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 dan menjuarai Copa Amerika setahun kemudian.
“Jumaat ini perlawanan terakhir saya bersama skuad kebangsaan. Hakikatnya keputusan saya untuk bersara bukan kerana kecederaan atau mereka tidak memanggil saya lagi, ia memberikan saya keselesaan, membantu saya secara individu.
“Ia sukar tetapi memberikan saya ketenangan sehingga perlawanan terakhir seperti obor yang padam sedikit demi sedikit,” kata Suarez ketika sidang media semalam.
Uruguay akan menentang Paraguay di Stadium Centenario, Montevideo Jumaat ini dalam aksi kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026 sebelum menentang Venezuela empat hari kemudian.
Suarez sebelum ini berkata Inter Miami akan menjadi kelab terakhirnya selepas menyertai Major League Soccer tahun lalu untuk bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan di Barcelona termasuk Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba.-AFP