PETALING JAYA: Beregu profesional campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kemaraan ke pentas akhir Terbuka China 2024 selepas menewaskan wakil tuan rumah, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Xincheng itu, gandingan No. 12 dunia terbabit bermandi peluh untuk menyingkirkan Cheng Xing-Zhang Chi, 21-18, 21-18 dalam tempoh 51 minit.
Set pertama menyaksikan Soon Huat-Shevon mengambil peluang daripada kesilapan mudah pihak lawan untuk meraih mata mudah memenangi perlawanan 21-18.
Cheng Xing-Zhang Chi mempamerkan permainan agresif pada set kedua dalam percubaan mengheret pasangan suami isteri negara ke set penentuan.
Bagaimanapun, ketenangan Shevon mengawal jentera hadapan jaring wajar diberikan pujian untuk memberi kemenangan straight set 21-18 selepas 30 minit permainan berlangsung.
Pasangan negara seterusnya akan berdepan cabaran dari pilihan kedua kejohanan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja, pada perlawanan akhir esok. – UTUSAN