PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa berpuas hati menjadi naib juara Terbuka China selepas tewas di tangan pasangan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou sebentar tadi.
Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-12 dunia bermula baik di set pertama apabila mereka yang ketinggalan 5-8 berjaya bangkit dengan permainan lebih kemas dan kawalan gelanggang yang baik untuk menyamakan kedudukan 8-8 sebelum mendahului 15-11.
Kedudukan itu dilihat memberi tekanan kepada Yan Zhe-Dong Ping yang beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri dan peluang berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya Soon Huat-Shevon untuk memenangi set pertama 21-16.
Namun, Soon Huat-Shevon itu dilihat hilang fokus pada set kedua apabila banyak melakukan kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan mereka mengutip mata sebelum menamatkan permainan dengan kemenangan 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada awal permainan set ketiga, perlawanan berlangsung sengit dengan Soon Huat-Shevon yang ketinggalan berjaya menyamakan kedudukan 7-7.
Yan Zhe-Dong Ping bagaimanapun menampilkan aksi lebih bertenaga dan yakin selepas itu selepas berjaya menjarakkan kedudukan sebelum menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-17.
Kekalahan meleburkan impian Soon Huat-Shevon untuk muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu sejak ia diperkenalkan pada 1986.
Mereka mengulangi pencapaian gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut muncul naib juara pada edisi 2012.-UTUSAN